Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam hantaran di Facebook miliknya, Anwar turut mengucapkan agar Seri Paduka baginda berdua, anakanda dan seluruh kerabat diraja diberi keafiatan.
Teruskan Membaca“Moga Seri Paduka baginda tuanku berdua, putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat diraja diberi keafiatan dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sebelum itu, Anwar memuat naik hantaran berbentuk video yang turut menggambarkan junjungan kasihnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.
Anwar turut berkongsikan tentang kebijaksanaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sudah tentu akan dikenang oleh rakyat di samping kewibawaannya dalam merungkai kemelut politik.
“Pemerintahan Tuanku yang merakyat disulam hikmah keadilan serta kebijaksanaan tentunya dikenang rakyat yang menikmati limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang tempoh baginda bersemayan di atas takhta.
“Kewibawaan Tuanku merungkai kemelut politik negara dan menggagaskan sebuah Kerajaan Perpaduan telah membugar kestabilan dan memungkinkan usaha untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya.
Setelah lima tahun bertakhta sebagai Agong, pemerintahan Al-Sultan Abdullah telah tamat pada 30 Januari ini dan akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. — KL VIRAL
Baca juga: