Lepas musim perayaan, memang satu pemandangan yang selalu buat orang geleng kepala. Sampah merata-rata, bekas makanan ditinggalkan begitu saja dan tong sampah seolah-olah ‘tak wujud’. Situasi inilah yang buat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tampil beri teguran keras kepada orang ramai.
Teruskan MembacaMenerusi satu hantaran di Facebook, Nga meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir individu yang masih membuang sampah sesuka hati di tempat awam, terutamanya selepas sambutan Krismas yang menyaksikan kawasan tumpuan dipenuhi orang ramai.
“Sudah masuk abad ke-21, hentikan buang sampah merata-rata dan jangan malukan Malaysia. Tingkah laku macam ni sangat memalukan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan sekiranya tindakan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang kebersihan.
“Jangan salahkan kerajaan bila undang-undang dikuatkuasakan. Tolonglah matang,” katanya lagi.
Masalah sampah sebenarnya bukan isu baharu. Setiap kali musim perayaan, pusat bandar, kawasan pelancongan dan lokasi rekreasi sering ‘bertukar wajah’ dengan longgokan sampah, termasuk sisa makanan, plastik dan botol minuman akibat sikap tidak peduli segelintir pengunjung.
Walaupun pelbagai kempen kesedaran dan denda telah diperkenalkan sebelum ini, tahap kesedaran masyarakat masih menjadi cabaran. Bagi Nga, isu kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi mencerminkan sikap dan disiplin rakyat sendiri.
Pendek kata, nak negara bersih bukan susah, buang sampah di tempat sepatutnya. Simple, tapi ramai masih gagal buat.
















