Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pinjaman wang yang berlegar di media sosial, terutamanya yang menjanjikan kelulusan segera tanpa syarat rumit.
Teruskan MembacaJabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memaklumkan bahawa sindiket penipuan semakin aktif menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp dan Telegram untuk memperdaya orang awam dengan menyamar sebagai bank, koperasi atau institusi kewangan yang kononnya sah.
Menurut JSJK, antara helah paling kerap digunakan ialah meminta bayaran awal atas pelbagai alasan, termasuk yuran pemprosesan, duti setem atau perlindungan insurans pinjaman.
“Selepas bayaran dibuat, individu atau pihak terbabit biasanya terus menghilangkan diri dan mangsa langsung tidak menerima wang seperti dijanjikan,” kata JSJK dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
JSJK menegaskan bahawa sebarang pinjaman yang sah tidak akan meminta bayaran pendahuluan sebelum kelulusan atau sebelum wang dimasukkan ke dalam akaun pemohon.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak terburu-buru menerima tawaran pinjaman yang kelihatan terlalu mudah dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu.
“Ambil tahu dan ambil peduli. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tetapi sebenarnya mencurigakan,” menurut kenyataan itu lagi.
PDRM turut menggesa individu yang menerima tawaran pinjaman meragukan atau telah menjadi mangsa penipuan supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil dan mengelakkan lebih ramai orang terperdaya.
Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dalam urusan kewangan secara dalam talian, khususnya apabila melibatkan sebarang permintaan bayaran awal.
















