KUALA LUMPUR: Mulai 23 Januari 2026, orang ramai yang mahu mencetak kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tak perlu lagi bersusah payah tunjuk bukti perjalanan ke luar negara seperti tiket penerbangan.
Teruskan MembacaPerkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) yang mengesahkan syarat lama tersebut telah dimansuhkan selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk menambah baik proses perkhidmatan kepada pengguna.
Menurut MOT, keputusan itu dibuat susulan sambutan positif terhadap penggunaan Lesen Memandu Digital sejak diperkenalkan pada Februari 2023. Setakat ini, aplikasi MyJPJ sudah mencatat lebih 13 juta pengguna, menunjukkan semakin ramai rakyat selesa menguruskan urusan lesen secara digital tanpa perlu beratur di kaunter.
Namun begitu, kementerian mengakui masih ramai yang memerlukan kad fizikal, terutamanya bagi kegunaan pemanduan dan urusan di luar negara.
“Sebelum ini, pemohon perlu kemukakan bukti perjalanan seperti tiket penerbangan untuk mencetak kad fizikal. Mulai 23 Januari, syarat itu tidak lagi dikenakan,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi mereka yang ingin mencetak kad fizikal, bayaran ditetapkan sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 bagi bukan warganegara. Permohonan boleh dibuat di semua kaunter JPJ serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tanpa sebarang sekatan kategori.
Dalam masa sama, pemberian lesen fizikal secara percuma kepada kumpulan tertentu masih diteruskan. Antara yang layak termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang Lesen Kelas A1 dan A serta pemegang Kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
MOT turut memaklumkan, bagi pengguna yang memilih Lesen Memandu Digital, akses percuma melalui aplikasi MyJPJ akan terus dikekalkan. Pembaharuan lesen juga boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus memudahkan urusan harian tanpa perlu ke kaunter.
















