PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Da’i Syed, diarahkan masuk penjara serta-merta selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat berkaitan kes rogol yang berlaku beberapa tahun lalu.
Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta 10 sebatan, sekali gus menolak permohonan Syed Shah Iqmal, 31, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Teruskan MembacaHakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid, berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian dan gagal meyakinkan mahkamah.
Menurutnya, kes tersebut merupakan satu kesalahan serius dan mahkamah berpuas hati bahawa sabitan serta hukuman yang dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara bermula hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas Da’i Syed didapati bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 11 September 2019, sekitar jam 1.35 pagi, di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, membabitkan mangsa berusia 23 tahun ketika kejadian.
Untuk rekod, pada April 2023, Mahkamah Sesyen pernah melepaskan dan membebaskan tertuduh selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Namun, keputusan itu kemudiannya dibatalkan apabila Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan tertuduh membela diri.
















