Pelakon jelita Intan Najuwa baru-baru ini berkongsi sisi emosinya sebagai seorang ibu yang sedang berdepan dilema antara kerjaya dan anak.
Teruskan MembacaMenerusi perkongsian di media sosial, Intan mengakui dia masih belum bersedia untuk berjauhan lama dengan puteri kesayangannya, Imane Lunara. Bayangkan, jadual kerja dari jam 7 pagi sampai 7 malam, memang terasa panjang, lebih-lebih lagi bila sebelum ini dia hampir 24 jam bersama anak setiap hari.
Menurut Intan, paling lama pun dia pernah tinggalkan Imane sekitar empat jam sahaja. Itu pun sudah cukup buat hatinya rasa tak tenteram. Tapi bila masuk hari penggambaran penuh baru-baru ini, momen paling menyentuh hati berlaku apabila anaknya menangis sewaktu melihat dia melangkah masuk ke dalam kereta untuk keluar bekerja.
Sebagai ibu, situasi itu memang buat jiwa rapuh. Tambah pula sejak Imane lahir, Intan dan suami banyak meluangkan masa bersama di rumah. Jadi, peralihan untuk kembali ke rutin kerja yang padat bukan sesuatu yang mudah.
Intan juga menjelaskan, bukan dia menolak rezeki atau enggan bekerja. Cuma buat masa sekarang, hatinya masih berat untuk berjauhan terlalu lama. Naluri seorang ibu kadang-kadang lebih kuat daripada apa sahaja komitmen lain.
Perkongsian jujur itu mendapat reaksi ramai netizen yang rata-ratanya memahami situasi tersebut. Ramai ibu di luar sana turut berkongsi pengalaman sama, rasa bersalah, rindu, dan bimbang bila terpaksa tinggalkan anak demi tanggungjawab.
Apa pun, jelas terpancar betapa Intan benar-benar menikmati fasa sebagai ibu. Kerjaya mungkin penting, tapi bagi seorang ibu, anak tetap nombor satu.
















