Pasport Malaysia kini melonjak ke tangga keenam paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026 menerusi laporan terbaru Henley Passport Index Global Ranking.
Pencapaian itu sekali gus menunjukkan peningkatan cukup besar selepas berada di kedudukan ke-12 pada tahun lalu.
Teruskan MembacaMenerusi perkongsian di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pihak mereka menyifatkan pencapaian itu sebagai satu pengiktirafan dunia terhadap Malaysia selain membuktikan hubungan diplomatik negara semakin kukuh.
Menurut JIM, pasport Malaysia bukan sekadar dokumen perjalanan biasa, tetapi turut menjadi simbol kedaulatan negara, kepercayaan antarabangsa dan kebanggaan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, JIM turut memberi komitmen untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan berintegriti demi menjaga keyakinan rakyat serta imej negara.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut berkongsi rasa bangga dengan pencapaian tersebut.
“Pasport Malaysia di tempat keenam dunia bagi ranking tahun 2026. Naik dua kali ganda dari tempat ke-12 tahun lepas,” katanya.
Beliau dalam masa sama memaklumkan rakyat Malaysia bakal menikmati pasport baharu dengan ciri keselamatan lebih canggih tidak lama lagi.
“InsyaAllah rakyat Malaysia akan dapat pasport baharu dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat. Nantikan pada bulan Jun ini,” ujarnya.
















