Peminat muzik akustik dan lagu-lagu berjiwa tenang pasti teruja apabila penyanyi antarabangsa terkenal, Jason Mraz, disahkan bakal kembali ke Malaysia selepas tujuh tahun.
Menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur, penyanyi yang popular dengan lagu I’m Yours itu akan membuat persembahan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 31 Oktober 2026. Konsert tersebut dibawakan oleh Zues Event.
Teruskan MembacaKehadiran semula Jason ke Kuala Lumpur pastinya menjadi berita gembira buat peminat setianya yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan persembahan secara langsung daripada penyanyi berusia 49 tahun itu.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik, Jason berjaya mencipta pelbagai lagu popular yang masih menjadi siulan ramai termasuk I Won’t Give Up, Lucky bersama Colbie Caillat, Have It All, I Feel Like Dancing dan The Remedy (I Won’t Worry).
Lebih menarik, lagu I’m Yours sahaja telah mencatat lebih dua bilion penstriman di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara penyanyi dan penulis lagu paling berpengaruh dalam genre pop akustik.
Bukan sekadar aktif dalam dunia muzik, Jason turut dikenali menerusi penglibatannya dalam teater Broadway, penerbitan dokumentari serta pelbagai aktiviti kebajikan menerusi Jason Mraz Foundation.
Menurut Pengarah Zues Event, Jeffery Chin, konsert ini dijangka menarik kehadiran peminat dari pelbagai generasi kerana karya-karya Jason masih relevan dan dekat di hati pendengar sehingga hari ini.
“Ramai rakyat Malaysia membesar dengan lagu-lagu Jason Mraz. Muziknya membawa mesej positif, penuh emosi dan keaslian yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat,” katanya.
Selain menikmati persembahan lagu-lagu hit, penonton juga bakal disajikan dengan pertunjukan percikan api serta persembahan dron yang dijangka menjadi antara tarikan utama pada malam konsert.
Tiket akan mula dijual pada 11 Jun bermula jam 10.50 pagi menerusi platform etix.my. Harga tiket ditawarkan dari RM158 hingga RM688, tidak termasuk caj pemprosesan dan cukai berkaitan.
Dengan himpunan lagu-lagu popular serta kejutan material baharu yang bakal dipersembahkan, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling dinanti oleh peminat tempatan pada tahun hadapan.
















