Pelawak dan usahawan popular, Achey Bocey berkongsi bahawa isterinya, Nor Hasanah Yahya atau lebih dikenali sebagai Anne, kini kembali menjalani rawatan IVF sebagai usaha mereka untuk menimang cahaya mata.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Achey memohon doa daripada orang ramai agar segala urusan mereka dipermudahkan dan diberikan kekuatan sepanjang proses tersebut.
Teruskan MembacaPerkongsian itu turut mendapat perhatian ramai yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta mendoakan yang terbaik buat pasangan berkenaan.
Dalam masa sama, Anne turut berkongsi luahan menyentuh hati mengenai anak perempuan mereka, Nur Tiara Zinnirah yang begitu berharap untuk memiliki seorang adik.
Menurut Anne, setiap kali pulang dari sekolah, Tiara sering bertanyakan tentang adik sehingga membuatkan dirinya berasa sebak dan bimbang jika harapan anaknya itu tidak menjadi kenyataan.
“Tiara balik sekolah terus tanya pasal baby. Mama sebenarnya takut… takut kakak terlalu berharap nak adik.
“Mama takut kecewakan kakak lagi. Tapi mama dan ayah akan terus berusaha selagi kami mampu.
“Mama ayah sayang awak sangat-sangat. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kami,” tulisnya.
Luahan tersebut menyentuh hati ramai netizen yang memahami perjalanan panjang pasangan itu dalam usaha mendapatkan zuriat sendiri.
Terdahulu, Achey pernah mendedahkan isterinya menjalani rawatan IVF pada tahun 2022, namun percubaan tersebut tidak berhasil.
Untuk rekod, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada tahun 2011. Pasangan itu kini membesarkan anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah yang semakin meningkat usia dan sering mencuri perhatian ramai dengan telatah comelnya.
Rata-rata netizen turut menitipkan doa agar usaha pasangan ini dipermudahkan dan dikurniakan berita gembira yang dinanti-nantikan selama ini.
















