Peminat muzik elektronik tanah air bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila acara Sunset by NEON presents UPPERGROUND bakal berlangsung di Genting Highlands pada 20 Jun ini.
Acara berprestij itu menandakan kemunculan pertama konsep UPPERGROUND di Malaysia yang diterajui oleh duo melodic techno terkenal dari Ukraine, ARTBAT.
Teruskan MembacaNama ARTBAT sememangnya tidak asing dalam dunia muzik elektronik antarabangsa. Duo tersebut terkenal menerusi lagu-lagu hit seperti Horizon, For A Feeling, Atlas dan Upperground, selain remix popular We Are The People nyanyian Empire of the Sun yang mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.
Sepanjang perjalanan karier mereka, ARTBAT telah menghiasi pentas festival muzik terbesar dunia termasuk Tomorrowland, Ultra Music Festival, Afterlife, Zamna dan Ushuaïa Ibiza.
Turut memeriahkan acara ialah DJ dan penerbit muzik terkenal, R3HAB. Artis kelahiran Belanda-Maghribi itu merupakan antara nama terbesar dalam industri EDM global dengan jutaan pendengar di platform penstriman.
Kehadiran R3HAB ke Genting Highlands juga pastinya menggembirakan peminat tempatan yang sudah lama menantikan kemunculannya di Malaysia. Menariknya, beliau turut pernah bekerjasama dengan ARTBAT menerusi lagu Flight Mode.
Selain itu, penerbit muzik dari Jerman, Chris Avantgarde juga bakal membuat penampilan sulung di Malaysia. Beliau cukup dikenali menerusi lagu Consciousness bersama Anyma yang dianggap antara karya paling berpengaruh dalam gelombang melodic techno masa kini.

Barisan artis antarabangsa itu turut diperkuatkan dengan kehadiran PlastiK Funk dan 7SKIES yang terkenal dengan persembahan penuh tenaga serta muzik yang sering dimainkan oleh DJ ternama dunia. Kehadiran kedua-dua artis itu dijangka menjadi antara tarikan utama festival berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia EDM dan melodic techno.
Menurut penganjur, penganjuran UPPERGROUND di Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk membawa pengalaman hiburan bertaraf dunia kepada peminat tempatan tanpa perlu ke luar negara.
Dengan latar belakang suasana sejuk dan nyaman Genting Highlands, acara ini dijangka tampil dengan produksi berskala besar yang menggabungkan visual memukau, sistem pencahayaan canggih, reka bentuk bunyi sinematik serta atmosfera unik yang menjadi identiti Sunset by NEON.
Malah, dengan beberapa artis yang bakal membuat penampilan pertama mereka di Malaysia dan Asia Tenggara, acara ini dilihat berpotensi menjadi antara festival muzik elektronik paling dinanti-nantikan tahun ini.
Tiket kini sudah mula dijual dan boleh didapati menerusi laman web rasmi Sunset by NEON.
















