Pelakon Nazim Othman mendedahkan dia masih menyimpan impian untuk membawakan watak aksi atau anggota tentera sepanjang 18 tahun bergelar anak seni.
Menurut Nazim, keinginan itu sudah lama terpendam namun sehingga kini dia masih belum berpeluang menjayakan karakter berkenaan.
Teruskan Membaca“Siapa yang tak teringin? Sebagai pelakon, saya memang mahu mencorakkan portfolio dengan pelbagai jenis watak.
“Antara watak yang paling saya idamkan ialah karakter aksi. Selain itu, saya juga teringin membawa watak berpakaian seragam seperti askar kerana bapa saya sendiri pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama, Nazim menegaskan dia tidak mempunyai masalah untuk mengubah penampilan jika ia diperlukan bagi menjayakan sesuatu watak.
Menurutnya, ada segelintir pihak yang beranggapan dia terlalu menjaga penampilan sehingga sanggup menolak perubahan imej demi karakter, namun tanggapan itu tidak benar.
“Mungkin ada yang melihat saya terlalu menjaga rupa dan tak sanggup ubah penampilan untuk watak.
“Tapi itu cuma persepsi. Kalau watak itu perlukan saya botak dan ia sesuai dengan jalan cerita serta mampu menguatkan karakter, kenapa tidak?” ujarnya.
Nazim turut berharap agar diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya dalam genre aksi yang selama ini belum diterokai sepenuhnya.
“Mungkin orang belum nampak atau saya belum diberikan peluang. Berilah ruang kepada saya, saya akan buat.
“Selagi masih sihat dan ada kudrat, saya harap peluang itu akan datang. Dengan pengalaman dan keyakinan yang saya ada sekarang, saya percaya saya mampu menjayakan watak seperti itu,” katanya.
















