Penganjuran World Labour Day Celebration Rainwater Music Festival 2026 sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 ternyata memberi pulangan yang cukup memberangsangkan apabila berjaya menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM392.33 juta.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, festival yang dianjurkan menerusi kerjasama kerajaan dan sektor swasta itu berjaya menarik kira-kira 415,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Teruskan MembacaMenurut beliau, acara utama yang berlangsung di Kuala Lumpur menerima kehadiran sekitar 150,000 pengunjung tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak, selain 100,000 pelancong antarabangsa dari negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Tidak terhad di ibu negara sahaja, festival berkenaan turut diperluaskan ke beberapa lokasi lain termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi yang berjaya menarik tambahan sekitar 165,000 pengunjung.
Daripada jumlah keseluruhan itu, program di Kuala Lumpur menyumbang impak ekonomi sebanyak RM320.43 juta manakala negeri-negeri lain menjana RM71.9 juta.
Menariknya, festival tersebut hanya melibatkan kos penganjuran RM15 juta, dengan RM11 juta disumbangkan kerajaan dan RM4 juta oleh pihak swasta.
“Setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan memberikan pulangan ekonomi kira-kira RM36,” kata Tiong ketika berucap di Dewan Rakyat.
Walaupun acara itu berpotensi menjana pendapatan lebih besar melalui jualan tiket, kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada rakyat sempena sambutan Hari Pekerja serta memberi peluang kepada lebih ramai menikmati festival bertaraf antarabangsa.
















