Terkini

Mahasiswa tidak disekat berkempen dalam PRN

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menyekat mahasiswa di negara ini menyokong dan terbabit dalam parti politik termasuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya cuma tidak membenarkan mahasiswa membawa politik kepartian masuk ke dalam kampus.

Beliau berkata, kementeriannya juga tidak mempunyai halangan sekiranya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu menjadi calon pilihan raya sekali pun.

“Tidak, kita bukan polis (untuk pantau aktiviti politik pelajar IPT). Mereka (mahasiswa) bebas dan tidak ada sekatan.

“Tapi, jangan bawa politik kepartian dalam kampus dan di luar jika mereka mahu bertanding, dia boleh bertandinglah.

“Tapi, tempoh hari tiada seorang mahasiswa menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan di UMT, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga beberapa kali meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

“Jadi, tidak timbul masalah kerana mahasiswa diberi kebebasan dan tiada sekatan kepada mereka termasuk menyokong mana-mana parti sekalipun,” katanya.

PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos depan menyaksikan penyertaan 570 calon.

Seramai 17 individu berusia 29 tahun ke bawah dengan termuda berusia 23 tahun telah disahkan menjadi calon PRN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon semalam.

Pelbagai

Scroll to Top