Seorang lelaki didakwa mengamalkan ilmu pukau mencuri motosikal milik warga emas di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, kelmarin.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan oleh @nanmanjoi8715 di Twitter (X) semalam, suspek mendekati mangsa dan seolah-olah memperlihatkan ingin meminta bantuan atau meminjam motosikal.
Teruskan MembacaRakaman berdurasi dua minit 14 minit itu berjaya membuatkan warga emas itu membuka topi keledar dipakainya dan dalam beberapa saat topi dalam pegangannya diambil suspek seolah-olah dalam keadaan tidak sedar.
Suspek itu dilihat terus menunggang motosikal berkenaan tanpa dihalang lelaki warga emas, seolah-olah seperti tidak sedar kenderaannya dilarikan.
Warga emas itu hanya berdiri dalam keadaan terpinga-pinga tanpa berbuat apa-apa, menyaksikan motosikal Honda Wave Alpha dilarikan kira-kira jam 9.29 pagi Isnin lalu di sebuah lorong di Jalan Sultan Abdul Samad, dekat Banting.
Pada keterangan dalam video itu yang dikongsi nanmanjoi8715, mengatakan mangsa mungkin dipukau berdasarkan maklumat yang didengari pengguna media sosial daripada anak mangsa.
Sehingga jam 2 petang semalam, video itu mendapat lebih 66,000 tontonan di aplikasi X.
Dalam perkembangan lain, polis menahan suspek selepas mangsa berusia 65 tahun membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor dilaporkan berkata, motosikal itu turut ditemui.
“Lelaki itu dilaporkan meminta motosikal (warga emas) untuk menghantar barangan di sekitar kawasan Banting.
“Bertindak atas aduan, seorang lelaki ditahan dan motosikal berkenaan dirampas dengan bantuan unit kereta peronda polis daerah Klang Utara.
“Suspek kini direman empat hari bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (atas kesalahan mencuri kenderaan bermotor),” katanya dalam satu kenyataan semalam.