Terkini

Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur iktiraf pengkarya seni berbakat

PENGANJURAN Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFAA) 2024 yang julung kali bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan inspirasi kepada penggiat seni baharu.

Presiden KLIFAA, Tan Sri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar, berkata, program tersebut akan merangkumi tayangan filem, perbincangan panel, acara rangkaian dan majlis anugerah bagi meraikan industri perfileman dan bakat baharu.

“KLIFAA 2024 berhasrat untuk menjadi lebih daripada satu majlis anugerah, acara ini bertujuan sebagai menjadi platform untuk pertukaran budaya.

“Acara ini bukan sahaja akan meraikan bakat baru, tetapi turut memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang mencatat pencapaian luar biasa dalam Filem Cereka, Drama TV, Dokumentari, Filem Pendek dan Animasi,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Azlan mengharapkan agar institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus perfileman dapat memberikan ruang dan peluang kepada graduan untuk aktif dalam industri.

“Jadi ekosistem mesti cukup kondusif. Setakat ini ekosistem belum ada lagi kerana ndustri filem itu sendiri memerlukan lebih banyak pembiayaan dan sokongan,” katanya.

Antara kategori yang dipertandingan dalam anugerah itu ialah Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik dan Sinematografi Terbaik untuk filem cereka, filem pendek dan siri televisyen.

Kumpulan pengkarya yang berminat boleh menghantar karya di www.klfiaa.com bermula 1 Mac hingga 31 Mei depan sementara acara itu dijadualkan berlangsung dari 5 Ogos hingga 11 Ogos di sekitar Kuala Lumpur.

Lembaga juri anugerah akan terdiri daripada pembikin filem dan artis profesional tempatan serta luar negara.

. — KL VIRAL

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top