Terkini

Bil cecah RM2 juta, JMB minta TNB tangguh pemotongan bekalan elektrik

PEJABAT Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1 meminta untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) menangguhkan pemotongan bekalan elektrik yang dijadual pada 17 Januari depan.

Datuk Azman Abidin sebagai wakil berkata, pihaknya telah berunding dengan pihak TNB bersama wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut.

Beliau turut berkata, isu berkenaan telah diambil maklum oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membantu pihak JMB dan penduduk.

“JMB menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan tunggakan bil berjumlah RM2 juta. Maka, kita cadangkan pihak JMB diberi peluang untuk menyelesaikan tunggakan secara berjadual. Kita yakin TNB akan setuju.

“Penangguhan pemotongan elektrik sekurang-kurangnya selepas selesai perbincangan antara penduduk dan pihak Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk pemilihan wakil JMB baharu pada Februari depan,” ujarnya.

Azman sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, pihaknya maklum JMB mempunya masalah kewangan kerana kos overhed yang melebihi pendapatan.

“Kutipan yuran sebulan tidak mencukupi untuk membayar kos overhed sebulan. Ini kerana jumlah yang diperoleh sebulan hanya RM70,000, sedangkan kos overhed sebulan adalah kira-kira RM120,000.

“Dengan itu, JMB mengalami masalah kerana ada penduduk culas membuat bayaran, dan perkara ini tidak adil kepada JMB serta penduduk yang menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.

Mengeruhkan lagi keadaan, terdapat segelintir penduduk yang mendakwa pihak JMB telah melakukan penyelewengan duit.

Sehubungan itu, penduduk di pangsapuri terbabit diminta bersabar dan tidak melemparkan tuduhan sama ada terhadap pihak JMB atau Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, kerana sebarang tindakan memerlukan masa untuk diselesaikan.

Menurut laporan Berita Harian, JMB bagi pangsapuri tersebut akan membuat rayuan kepada TNB bagi menangguhkan pemotongan elektrik yang telah dijadualkan pada 17 Januari bakal menjejaskan bekalan air, fungsi lif dan lampu koridor.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top