PEMAKAIAN tanjak sinonim dengan budaya keaslian busana dalam kalangan masyarakat Melayu. Boleh dikatakan setiap pengantin lelaki yang mengadakan resepsi bertemakan tradisional, akan mengenakan tanjak saat duduk di pelaminan.
Begitu juga saat melihat barisan Sultan Melayu yang mengenakan tanjak untuk disepadankan dengan baju Melayu.
Teruskan MembacaBagaimanapun, antara sembilan barisan Sultan, tentu mata tertumpu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Masakan tidak, Baginda kelihatan mengenakan gaya busana berbeza dengan Sultan Melayu lain yang muncul dengan tengkolok Diraja dengan dipadankan bersama baju Melayu songket.
Jadi, tentu ada yang tertanya-tanya mengapa Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, tidak muncul dengan mengenakan tengkolok Diraja.
Sedikit info, kali terakhir Sultan Johor memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 1989 iaitu Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail. Baginda merupakan ayahanda Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Justeru, semak info menarik mengenai mengapa Kesultanan Johor tidak mengenakan tengkolok diraja berbanding Sultan dari negeri lain.
Sememangnya mahkota menjadi lambang keunikan Kesultanan Johor dan bukan tanjak. Di samping itu, Mahkota Kerajaan Johor mempunyai reka bentuk mirip seperti Mahkota yang digunakan oleh Kerajaan Eropah.
Selain itu, negeri Johor merupakan antara negeri yang terawal menggunakan mahkota bagi pemerintah sejak tahun 1886 dan diikuti dengan Selangor pada 1903, Terengganu (1920) dan Kelantan (1921).
Menariknya, Mahkota Kerajaan Johor ditempah khas dari London dibuat oleh J W Benson yang diinspirasikan Mahkota St Edward.
Namun begitu, pengubahsuaian dan olahan telah dibuat agar lebih bercirikan ketimuran dengan bentuk bulan sabit dan bintang pecah lima disekeliling mahkota serta di sebelah atas mahkota.
Terdahulu, mahkota mula diguna pakai ketika pertabalan Sultan Johor pertama iaitu Almarhum Maharaja Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah atau Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ibni Almarhum Temenggung Daeng Ibrahim Sri Maharaja Johor (1862-1895).
Oleh kerana baginda merupakan keturunan Temenggong, Maharaja Abu Bakar menggunakan mahkota sebagai alat kebesaran diraja Johor ketika itu. Sementara itu, pemerintah beraja ketika itu memakai Tengkolok Diraja yang merupakan pakaian rasmi bagi pemerintah Melayu.
Oleh yang demikian, baginda mencari satu identiti khas bagi melambangkan kekuasaan Kesultanan Johor mengikut susur galur Temenggong.
Hubungan baik Sultan Abu Bakar dengan kerajaan British semasa pemerintahan Ratu Victoria, Baginda menerapkan penggunaan mahkota dalam institusi beraja Johor moden.
Secara keseluruhannya, sebab itulah jika dilihat Kesultanan Johor lebih menerapkan ciri-ciri Barat mirip yang dipakai kaum kerabat Johor dalam istiada raja-raja.
Warna biru juga menjadi warna rasmi bagi Kesultanan Johor disamping pemakaian jubah panjang sama seperti kemahkotaan Raja-raja Inggeris.
Barangkali YDPA Sultan Ibrahim juga akan memakai Tengkolok Diraja ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong seperti ayahandanya pada 1984 memandangkan ia adalah pakaian kebesaran diraja bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Baca juga: