Oleh: Hanim Nadia
TIDAK menyedari kucing yang dibawanya tergantung di bahagian belakang kenderaan sehingga tular di media sosial sejak semalam di kawasan Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Teruskan MembacaItu alasan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) dipercayai pemilik kucing tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, berikutan insiden itu, pemandu terbabit bertindak membuat laporan polis bagi memberi penjelasan berhubung insiden itu selain mengelak salah faham.
Mengesahkan menerima laporan daripada pengadu, Boo Kim berkata, siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu telah menemui seekor kucing jalanan di rumahnya yang berada dalam keadaan tidak terurus.
“Dia kemudiannya mahu membawa kucing tersebut ke klinik haiwan di Simpang Ampat bagi tujuan memandulkan haiwan berkenaan.
“Bagaimanapun semasa dalam perjalanan ke klinik, pengadu tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang kenderaanya cuba melompat keluar sehingga berada dalam keadaan tergantung”, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Boo Kim, pengadu hanya menyedari haiwan berkenaan berada dalam keadaan tergantung selepas sampai di klinik haiwan dan bertindak membukakan ikatan tali di leher kucing itu.
Jelasnya, kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak memanipulasikan kes tular yang boleh menyebabkan kekeliruan.
Semalam, tular gambar seekor kucing yang tergantung di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga mendatangkan kemarahan orang ramai dan pencinta haiwan.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan suspek lelaki berusia 30-an yang terbabit dalam insiden berkenaan.
Katanya, kucing terbabit kini di bawah jagaan JPV manakala kenderaan pacuan empat roda yang digunakan semasa kejadian sudah disita.
Baca juga: