Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan misi diplomatiknya di Eropah dengan mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, di Brussels.
Dalam perbincangan yang berlangsung selama satu jam di Pejabat Perdana Menteri Belgium, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, serta pendidikan.
Teruskan MembacaPerbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam Pendidikan Tinggi dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkasakan tenaga kerja mahir dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Selain membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, Anwar turut menyentuh situasi di Palestin dalam mesyuarat tersebut.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Anwar ke Belgium sejak memegang jawatan Perdana Menteri.
Dari segi perdagangan, Belgium merupakan rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Sehingga November 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Belgium mencecah RM10.79 bilion, dengan eksport Malaysia ke Belgium bernilai RM7.48 bilion, manakala import dari Belgium berjumlah RM3.31 bilion.