Taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di platform media sosial, bukan pengganti kepada tugas jurucakap kerajaan yang diketuai Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, tidak ada pertindihan bagi kedua tugasan memandangkan taklimat harian berperanan sebagai pelengkap dan mengukuhkan struktur komunikasi kerajaan.
Teruskan Membaca“Dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat.
“Di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan,” katanya menerusi siaran langsung video taklimat harian PMO.
Jelasnya lagi, taklimat harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, selain penjelasan mengenai isu semasa yang mendesak.
Ini termasuk arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun serta berkesan.
Sementara itu, katanya Fahmi bertanggungjawab menjelaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar kerajaan dan keputusan-keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.