Oleh: Aliyaa Azmi
AXIATA Arena Kuala Lumpur bakal bergema dengan sorakan peminat muzik pada 16 November 2025 apabila Musica Fest membawa lima bintang Indonesia yang telah lama mencuri perhatian.
Teruskan MembacaDengan kehadiran Nidji, Geisha, D’Masiv, Shakira Jasmine, dan Steven Pasaribu, festival ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan muzik yang penuh dengan kejutan dan nostalgia.
Penganjur acara, Shiraz Projects, dengan kerjasama Musica Studio’s, berjaya menghimpunkan barisan artis yang bukan sahaja terkenal, tetapi juga mewakili pelbagai genre muzik yang pasti menghidupkan suasana malam berkenaan.
Menurutnya, Musica Fest bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia adalah satu platform yang mempersembahkan muzik Indonesia dalam pelbagai warna dan aliran, dari rock hingga pop, daripada legenda industri kepada bintang-bintang muda yang semakin bersinar.
“Musica Fest ini adalah satu gabungan sempurna antara nama-nama besar dan bintang baru yang sedang mencipta nama. Kami bangga dapat semua pemuzik ini yang telah sekian lama memikat hati peminat, yang pastinya bakal memukau penonton dengan bakat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Nidji, yang turut teruja dengan Musica Fest, berkongsi bahawa sudah lama mereka tidak beraksi bersama Geisha dan D’Masiv. Dengan penampilan Shakira serta Steven, ini pastinya peluang yang tidak boleh dilepaskan.
“Musica Fest adalah perayaan muzik yang membawa kami semua kembali bersama untuk merayakan legasi muzik Indonesia yang terus hidup dan berkembang,” katanya.
Dengan barisan lagu-lagu hits seperti Hapus Aku, Cinta Ini Membunuhku, Lumpuhkan Ingatanku, serta lagu-lagu ikonik dari Shakira dan Steven Pasaribu, pastikan anda tidak ketinggalan untuk merasai kehebatan muzik Indonesia yang tiada tandingannya.
Musica Fest 2025 adalah acara yang wajib ditonton, sebuah malam penuh emosi dan kenangan yang akan terus dikenang oleh peminat muzik Indonesia di Malaysia.
Untuk peminat yang ingin merasai pengalaman luar biasa ini, tiket-tiket Musica Fest akan mula dijual pada 23 April 2025 dengan pelbagai kategori – RM398 (Diamond), RM198 (Platinum), RM158 (Gold), dan RM188 (Rockzone – Free Standing).