PETALING JAYA: Ramai pengguna mula risau bila dengar data telefon bimbit dikumpul.
Tapi sabar dulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil beri penjelasan: tiada maklumat peribadi pengguna didedahkan atau disalah guna dalam proses ini.
Teruskan MembacaDalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MCMC menjelaskan bahawa proses pengumpulan Mobile Phone Data (MPD) daripada syarikat telekomunikasi tempatan dibuat dengan penuh berhati-hati dan mematuhi prinsip keselamatan serta privasi.
“Tiada sebarang maklumat peribadi pengguna diakses, diproses atau didedahkan.
“Semua data yang diperoleh telah dianonimkan sepenuhnya dan hanya digunakan untuk tujuan statistik rasmi,” tegas MCMC.
MPD digunakan untuk bantu kerajaan dalam membuat dasar yang lebih tepat, khususnya dalam dua sektor utama:
Sektor ICT – Data bantu kira kadar langganan internet mudah alih dan tahap capaian di kawasan seperti negeri, daerah, hingga ke Parlimen dan PBT.
Sektor Pelancongan – MPD digunakan untuk analisis jumlah pelawat dan perjalanan pelancongan dalam negara.
MCMC turut menjelaskan bahawa syarikat telekomunikasi (MNO) diberi dua pilihan:
- Proses data sendiri secara dalaman dan hanya hantar output yang telah dianonim dan diagregatkan kepada MCMC.
- Jika tiada keupayaan, mereka boleh hantar data yang sudah dianonimkan kepada MCMC untuk diproses.
Inisiatif ini bukan idea baru. Ia selari dengan amalan terbaik antarabangsa, seperti yang telah dilaksanakan di Indonesia dan Brazil, di mana data telekomunikasi digunakan untuk perangkaan tanpa melanggar privasi pengguna.
MCMC turut bekerjasama dengan badan seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan PBB dalam memastikan pelaksanaan MPD mematuhi standard global.
Bukan sembarangan laksana. MCMC maklumkan mereka telah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat telekomunikasi sejak dua tahun lalu.
Ini termasuk Bengkel Kebangsaan MPD pada September 2024 dengan penglibatan pihak seperti Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan serta syarikat gergasi seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan TM Tech.
Kesimpulannya? Tak perlu risau. MCMC dah beri jaminan data anda selamat, privasi terpelihara.
Data yang dikumpul hanyalah untuk bantu negara buat keputusan lebih tepat, bukan untuk ‘stalk’ sesiapa.
Teruskan guna perkhidmatan dengan yakin privasi anda tetap keutamaan.