KERAJAAN membelanjakan kira-kira RM 4.9 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis di negara ini.
Kajian ambil masa antara 10 hingga 12 tahun |
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kos berkenaan dapat dikurangkan sekiranya masyarakat dapat diberikan pendidikan kesihatan dengan baik sejak dari awal lagi.
Teruskan MembacaJusteru bagi mencapai sasaran itu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) bakal melaksanakan kajian kohort membabitkan pesakit diabetis Jenis 2 di Seremban yang mana kajian berkenaan dijangka mengambil masa sekitar 10 hingga 12 tahun.
“Kajian ini akan melihat bagaimana faktor-faktor penyebab kepada kencing manis memberi kesan dari segi keluarga, ekonomi, persekitaran dan sebagainya. Penyakit kencing manis ini mampu memberi komplikasi yang pelbagai seperti komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang ke atas pesakit.
“Tentunya pesakit kencing manis ini akan memberi kesan kepada KKM yang memerlukan rawatan. Bagi saya kajian ini dapat melihat intervensi-intervensi yang boleh dilakukan terhadap pesakit dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan (KPM), di universiti untuk mengelak lebih ramai penduduk berdepan penyakit kencing manis,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran MOH-IMU Seremban Diabetes (SeDia) Cohort Study di Seremban Sabtu lalu.
Terdahulu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pengerusi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Health Sdn. Bhd.
Sementara itu jelas Zaliha, kajian kohort berkenaan merupakan kohort pertama yang menumpukan kepada pesakit diabetis di negara ini khususnya pesakit kencing manis jenis dua (T2DM)..