PETALING JAYA: Kumpulan nasyid legenda, Rabbani, bakal menggegarkan pentas Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 September 2025, dengan konsert istimewa mereka bertajuk Konsert Intifada, bermula jam 8.30 malam.
Tapi ini bukan sekadar konsert biasa, ia sarat dengan mesej perjuangan, semangat dan pengorbanan, sesuai dengan nama dan tema yang dibawa.
Teruskan MembacaLebih 10 lagu popular Rabbani akan dipersembahkan, termasuk segmen khas yang diberi nama “Segmen Jiwa”, satu babak dramatik yang menyentuh emosi, diinspirasikan daripada lagu-lagu pilihan mereka.
“Konsert ini bukan setakat nak hiburkan penonton, tapi kami nak sampaikan pengisian mendalam tentang cabaran hidup, kekuatan jiwa dan nilai perjuangan,” kata anggota kumpulan, Azadan Abdurahman, dalam kenyataan media.
Antara lagu yang bakal memberi impak besar termasuk “Hazara”, yang mengangkat kisah sahabat Rasulullah SAW yang tetap memilih untuk berjuang, walaupun di malam pertama perkahwinan.
Konsert juga akan menampilkan kemunculan istimewa daripada kumpulan Brothers, serta Yabang dan Aeydan sebagai artis jemputan menjanjikan malam yang penuh dengan semangat dan harmoni.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai jam 10 pagi, menerusi platform Ticket2U dan Fantopia.io, dengan harga bermula daripada RM150.
Kalau korang peminat nasyid, atau sekadar nak rasai semangat perjuangan melalui muzik, konsert ini memang tak patut dilepaskan!