PETALING JAYA: Sebanyak 18 buah motosikal disita dalam satu Operasi Bersepadu Trafik dan Alam Sekitar yang dijalankan di kawasan Verando Residence, Jalan PJS 5/27 semalam.
Operasi ini melibatkan kerjasama antara Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya (KBSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, diketuai oleh P/DSP Amir Che Ya bersama dua pegawai, 17 anggota trafik, seorang pegawai dan sembilan anggota JAS.
Teruskan MembacaMenurut kenyataan yang dimuat naik ke Facebook rasmi BSPT, seramai 172 individu dan 150 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi.
“Hasil pemeriksaan, 18 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kebanyakannya kerana ubah suai komponen dan penggunaan ekzos yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
Semua motosikal yang disita kemudian dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk menjalani ujian bunyi oleh pihak JAS Selangor.
“Daripada jumlah itu, 12 motosikal gagal ujian bunyi dan pemilik telah dikenakan notis oleh pihak JAS,” jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, pihak berkuasa juga mengeluarkan sebanyak 101 saman atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk kesalahan penunggang dan pembonceng.
Operasi seperti ini merupakan usaha berterusan untuk pastikan pengguna jalan raya patuh pada undang-undang dan dalam masa sama, jaga kesejahteraan orang ramai daripada gangguan bunyi bising yang keterlaluan.
Ia juga tunjukkan keseriusan pihak polis dan JAS dalam memastikan keselamatan dan kualiti hidup masyarakat terus terpelihara.