Oleh: Tyah Helmi
Teruskan MembacaDUNIA hiburan tanah air digemparkan dengan konflik keluarga membabitkan pelakon popular Anna Jobling dan ibunya, Ariz Arop, yang kini menjadi tumpuan hangat di media sosial.
Segalanya tercetus apabila Ariz memuat naik hantaran penuh emosi di Instagram, memperlihatkan dirinya menangis di hadapan balai polis sambil meluahkan rasa kecewa terhadap anaknya.
Dalam rakaman tersebut, Ariz mendakwa dirinya telah dihina dan dilayan seperti tidak bernilai meskipun telah berkorban demi kejayaan Anna.
“Jangan lupa diri, Adik dah ‘famous’, jangan lupa diri, jangan ingat walaupun dia (Anna Jobling) bagi duit, dia ingat dia bagi duit, dia boleh buat macam ini,” katanya.
Lebih mengejutkan, Anna dilaporkan telah memfailkan perintah injunksi terhadap ibunya sendiri bagi melarang Ariz daripada berada dalam jarak dekat dengannya.
Tindakan itu nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati industri hiburan.
Ariz turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan anaknya yang disifatkan sebagai balasan tidak setimpal terhadap segala pengorbanan seorang ibu.
“Akak dah bergodak-gadai, kita nak anak kita senang, ingatkan boleh lah tumpang senang, harapkan kebaikan seorang mak.
“Macam ini dia buat, kami gaduh-gaduh biasa sahaja, gaduh sebab banyak benda tak puas hati, tak puas hati dengan akak, tak puas hati dengan dia.
“Tapi dia punya hina saya, sampai panggil peguam dan keluar kita macam saya nak bunuh dia,” ujarnya.
Setakat ini, Anna Jobling masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.
Laman Instagram miliknya hanya memaparkan promosi drama terbarunya, Setia Itu Mahal tanpa sebarang reaksi terhadap kontroversi yang sedang melanda.