PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, program Malaysiaku Merdeka akan diperluas dengan fokus pengibaran Jalur Gemilang sepanjang tahun, bukan hanya pada bulan Ogos atau Hari Malaysia.
Teruskan MembacaMenteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata inisiatif ini akan digerakkan sampai ke akar umbi melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kelab Rukun Negara (KRN) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN).
“Semangat cintakan negara tak sepatutnya terhenti lepas Ogos. Jalur Gemilang wajar terus berkibar di kampung, di bandar, sekolah, universiti, pejabat kerajaan mahupun swasta sebagai simbol penyatuan rakyat,” katanya.
Beliau juga menegaskan, Jalur Gemilang perlu dilihat sebagai identiti nasional yang diwarisi generasi ke generasi. Bendera bukan sekadar kain, tapi lambang harapan, cita-cita dan maruah negara.
Aaron turut menegur insiden bendera dipasang terbalik atau digunakan secara tidak wajar sejak kebelakangan ini.
“Jalur Gemilang bukan hiasan biasa. Ia simbol maruah negara. Kesilapan memperlakukan bendera boleh timbulkan sensitiviti rakyat dan jejaskan imej Malaysia,” katanya lagi.
Menurut beliau, mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh hormat adalah tanda patriotisme sebenar yang patut dipraktikkan semua rakyat Malaysia.















