KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dedah dia dan isteri terima mesej ugutan selepas anak lelaki mereka berusia 12 tahun jadi mangsa serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.
Teruskan MembacaKata Rafizi, isterinya terima mesej sekitar jam 1.45 tengah hari yang berbunyi: “diam, jika teruskan, AIDS” siap dengan emoji picagari. Pagi tadi pula, Rafizi sendiri dapat mesej sama daripada nombor telefon yang serupa.
“Teksnya berbunyi ‘diam, andai teruskan AIDS’ disertakan emoji picagari. Nombor tu sama dengan yang mesej isteri saya semalam,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Rafizi jelaskan ada tiga kemungkinan tentang cecair yang disuntik ke tubuh anaknya, sama ada mengandungi racun atau dadah, virus berbahaya seperti hepatitis atau HIV, ataupun cuma cecair kosong.
Syukur, keadaan anaknya stabil dan sudah dibenarkan pulang dari hospital. Malah, dia hadir ke sekolah seperti biasa hari ini. Cuma, anaknya perlu jalani beberapa ujian kesihatan berperingkat selama enam bulan akan datang untuk pastikan tiada risiko kesihatan jangka panjang.
Dalam tempoh 24 jam pertama, fokus utama adalah pastikan tiada racun atau dadah dalam suntikan tersebut. Ujian darah sedang dibuat dan keputusan penuh dijangka keluar beberapa bulan lagi.
Rafizi turut tak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan cubaan menakut-nakutkan dirinya daripada terus menyiasat satu skandal besar yang sedang dia teliti sejak menerima maklumat daripada pemberi maklumat minggu lalu.
Semua bukti termasuk mesej ugutan dan nombor telefon pengirim sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pihak polis sahkan insiden berlaku sekitar jam 2 petang semalam di Putrajaya. Mangsa tak alami kecederaan fizikal, dan siasatan sedang dijalankan untuk kenal pasti bahan yang digunakan serta motif serangan.