PUTRAJAYA: Di sebalik kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga mendiang Poovan Arumugam menerima sinar harapan apabila warisnya layak menerima manfaat lebih RM100,000 daripada simpanan Simpan SSPN yang dibuat arwah semasa hayatnya.
Teruskan MembacaMendiang Poovan, yang merupakan Ketua Penolong Pengarah di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), meninggal dunia pada 25 Jun lalu. Selain kehilangan besar buat keluarga, pemergian beliau turut dirasai warga AKEPT yang mengenali beliau sebagai seorang yang berdedikasi dan berprinsip.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir ke kediaman keluarga mendiang dalam Program Ziarah Kasih Simpan SSPN, bersama pihak PTPTN, untuk menyampaikan sumbangan dan menyantuni balu mendiang, Sivagami Vairavan.
Menerusi akaun Simpan SSPN Prime atas nama sendiri dan tiga anak, waris layak terima manfaat takaful sebanyak RM1,822.56 dan khairat kematian RM3,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM4,822.56.
Tapi yang paling mengharukan, mendiang juga sempat buka tiga akaun Simpan SSPN Plus untuk anak-anaknya dengan caruman serendah RM30 sebulan. Usaha ini membolehkan keluarga menerima manfaat takaful bernilai RM90,000 dan khairat kematian RM9,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM99,000.
Gabungan kedua-dua pelan ini menjadikan jumlah penuh manfaat yang diterima waris mendiang adalah RM103,822.56.
Program Ziarah Kasih ini bukan sekadar untuk memberi penghormatan kepada pendeposit, tetapi juga untuk tunjukkan betapa pentingnya simpanan dan perlindungan awal walaupun caruman bulanan kecil, impaknya sangat besar untuk masa depan keluarga.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; dan Pengarah AKEPT, Dr Harshita Aini Haroon.