Sejak semalam, media sosial kecoh membincangkan isu berkaitan pembahagian harta pusaka dan wang tunai berjumlah RM1.3 juta milik pengasas produk kecantikan terkenal, Allahyarham Faziani Rohban, yang didakwa telah diambil oleh suaminya daripada sebuah peti besi.
Anak kepada Allahyarham, Irdina, telah memuat naik hantaran di TikTok bagi meluahkan rasa kecewa. Beliau turut mendakwa bahawa isteri kepada bapa tirinya, yang kini merupakan pengasas produk kecantikan popular, telah mencampuri urusan faraid serta harta pusaka arwah ibunya.
Teruskan MembacaMenurut Irdina, individu tersebut tidak mempunyai sebarang hak ke atas harta berkenaan tetapi masih mencampuri urusan, dan didakwa turut memprovokasi waris-waris lain.
Untuk rekod, isteri baharu kepada bapa tiri Irdina itu kini giat mempromosikan jenama produknya yang mula mendapat perhatian ramai, terutamanya selepas melantik dua selebriti popular sebagai duta rasmi.
Akibat pendedahan tersebut, akaun Instagram pengasas wanita berkenaan, yang dikenali dengan gelaran ‘Maam’ dalam kalangan pengikutnya, mula menerima banyak komen daripada netizen. Sebilangan pengguna media sosial menuntut agar beliau memainkan peranan dalam menyelesaikan isu wang RM1.3 juta itu serta membantu suaminya menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya.
Wanita tersebut juga dilihat sempat membalas salah satu komen dan mengucapkan terima kasih atas peringatan yang diberikan berkenaan perkara itu.
Terdahulu, suami Allahyarham Faziani, Ahmad Rizal, tampil memberikan kenyataan balas. Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak pernah menerima sebarang arahan rasmi daripada mahkamah untuk memulangkan wang tunai RM1.3 juta tersebut. Ahmad Rizal juga menjelaskan bahawa jumlah yang diambil itu hanyalah sekitar enam peratus daripada keseluruhan nilai harta sepencarian mereka yang dianggarkan berjumlah RM80 juta.