NOSTALGIA era 90-an kembali menguasai pentas apabila kumpulan wanita popular, Elite, tampil dengan persembahan penuh bertenaga dalam konsert Elite Live ’25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam Sabtu.
Teruskan MembacaLebih 2,500 peminat membanjiri dewan, sekali gus menepis persepsi kononnya tiket konsert tidak laku kerana harga mahal atau keraguan terhadap kemampuan Elite menghibur selepas sekian lama tidak bersama.
Membuka tirai dengan lagu rancak La Diva, diikuti Bahaya dan Kau Siapa, sorakan gemuruh penonton bergema seawal persembahan pertama. Selama dua jam, lima anggota asal – Linda Rafar, Abby Abadi, Azza Zawari, Shasha Saidin dan Watie Sadali, bukan sahaja menyanyi, tetapi turut menari dengan stamina luar biasa, membuktikan aura mereka masih utuh meskipun kini berstatus ibu.
Suasana turut diserikan dengan gelagat bersahaja ahli kumpulan, termasuk gurauan Watie:
“Bila malam ini kami kembali bersama di pentas, memang terasa luar biasa. Kita jual apa, Shasha? Kita jual bakat sajalah,” katanya, disambut sorakan peminat.
Antara lagu popular yang dipersembahkan ialah G.I.G, Catwalk, Trauma, Sesuatu Di Dalam Dirimu, Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu.
Momen emosional jelas terpancar pada wajah setiap ahli yang bersyukur diberi peluang kembali bergabung selepas masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri – Shasha menetap di Dubai, Azza mengurus bisnes kek, Linda bersama keluarga, manakala Abby aktif dengan siaran langsung di TikTok.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas kumpulan Alpha, yang berduet bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga selain mempersembahkan hit mereka Monalisa dan P. Ramlee & Saloma.
Tidak cukup dengan itu, kumpulan X-Factor mengejutkan penonton dengan dua lagu fenomena mereka, Bertuah dan 7251364, menjadikan malam tersebut benar-benar meletup dengan aura 90-an.
Bagi Elite, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi hadiah paling indah buat peminat setia yang terus menyokong sejak mula perjalanan seni mereka.