SEREMBAN: Lepas restoran, bazar dan institusi pendidikan, kini giliran sektor kesihatan pula terima manfaat Menu Rahmah. Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) jadi hospital kedua di negara ini yang tawarkan hidangan berpatutan untuk pesakit, pengunjung dan juga kakitangan hospital.
Teruskan MembacaDengan purata lebih 5,000 pesakit dan hampir 33,000 pengunjung sebulan, HTJS yang merupakan hospital rujukan utama Negeri Sembilan kini menyediakan set makanan lengkap hanya RM5 di kafeteria hospital. Menu tersebut terdiri daripada nasi, lauk berprotein, sayur serta air mineral, cukup untuk hidangan seimbang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah ini membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.
“Menu Rahmah bukan sekadar makanan murah, tapi lambang keprihatinan kerajaan. Malaysia MADANI bukan hanya slogan, ia dibawa dalam bentuk tindakan,” katanya.
Setakat ini, program Menu Rahmah sudah diperluas ke pelbagai sektor termasuk bazar Ramadan, institusi pendidikan, industri dan juga program advokasi seperti Karnival KPDN untuk MADANI Rakyat.