KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Misha Omar sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital tersohor di Times Square, New York. Kejayaan ini melakar satu lagi pencapaian membanggakan dalam kerjaya seninya yang telah menjangkau lebih dua dekad.
Dalam satu hantaran yang dikongsikan di laman Instagram miliknya, Misha atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Mitch, meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut. Beliau menyifatkan detik ini sebagai antara momen paling bermakna sepanjang 23 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air.
Teruskan Membaca“Melihat wajah saya terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin saya lupakan seumur hidup. Sebagai seorang wanita, setiap suara yang kita miliki membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang dan kecekalan,” ujar Misha.
Beliau turut menekankan bahawa setiap wanita mempunyai kisah dan suara tersendiri, yang berpotensi memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Menurut Misha, muzik bukan sekadar kerjaya buat dirinya, malah merupakan platform penting dalam menyampaikan mesej dan menyebarkan kekuatan kepada para pendengar.
“Selama 23 tahun ini, muzik adalah cara saya menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian. Momen bersejarah seperti ini mengukuhkan lagi keyakinan saya bahawa muzik bukan hanya sebuah kerjaya, ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa,” katanya lagi.
Pencapaian ini sekali gus menjadi bukti bahawa bakat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa dan memberikan impak positif dalam menyampaikan mesej yang bermakna menerusi seni.