PUTRAJAYA: Demi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah terus terjamin, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pemasangan sistem CCTV di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.
Teruskan MembacaLangkah ini melengkapkan RM3 juta yang telah diperuntukkan sebelum ini untuk tujuan sama, dan kerja pemasangan dijangka bermula dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan KPM, usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kementerian bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan menyokong kesejahteraan murid.
Selain itu, KPM turut memaklumkan bahawa 10,096 guru baharu akan mula ditempatkan di sekolah seluruh negara pada bulan November ini termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) bagi memperkukuh sokongan psikososial murid.
Untuk aspek keselamatan di asrama pula, kementerian melantik 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masadaripada kalangan personel MySTEP bagi membantu pemantauan harian dan mengurangkan beban warden sedia ada.
KPM juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peranan Pegawai Penghubung Sekolah, bagi memastikan keselamatan sekolah sentiasa terjamin dan sebarang isu disiplin dapat ditangani dengan cepat.
Dalam masa sama, fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diperkuat untuk memberikan bantuan psikososial segera apabila berlaku krisis di sekolah.
Kementerian turut memberi penekanan terhadap latihan kesiapsiagaan guru, serta memperkukuh peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin dalam menangani salah laku pelajar secara berhemah dan berkesan.
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan disiplin, KPM kini sedang menggubal semula peraturan disiplin muriddan menambah baik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) supaya dapat digunakan secara lebih proaktif dalam mengurus kes salah laku.
Menariknya, KPM juga menekankan pentingnya suara warga sekolah termasuk guru dan murid didengari melalui sesi dialog dan inisiatif ‘kotak suara murid’, selaras dengan advokasi UNICEF.
Dalam pada itu, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) yang sedang digubal dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar di sekolah terus menjadi keutamaan.
















