PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa beliau sedang berhubung secara aktif dengan pihak-pihak berkepentingan antarabangsa bagi memastikan usaha pembebasan rakyat Malaysia serta delegasi Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel dapat dilaksanakan dengan segera.
Teruskan MembacaDalam kenyataan yang dikongsikan menerusi platform X, Anwar menzahirkan solidariti serta doa agar semua aktivis dan sukarelawan yang terlibat, termasuk dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa, terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi situasi getir ini.
“Kepada keluarga semua aktivis dan sukarelawan, saya berdoa agar kalian terus tabah dan kuat. Setiap perkembangan mengenai proses pembebasan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan dilindungi.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa tentera Israel telah memintas serta menahan beberapa kapal layar yang menyertai misi kemanusiaan GSF pada awal pagi Khamis. Insiden itu mengakibatkan seramai 12 rakyat Malaysia turut ditahan oleh tentera Israel.