PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil menzahirkan rasa hormat dan terima kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memulakan Lawatan Negara ke Arab Saudi dan Bahrain hari ini.
Teruskan MembacaDalam satu hantaran di Facebook, Anwar mendoakan agar perjalanan rasmi itu dipermudahkan, selamat dan membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Tuanku Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain. Patik mendoakan semoga keberangkatan Tuanku dan rombongan dirahmati Allah serta dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan ini,” tulisnya.
Anwar turut menjelaskan beliau tidak dapat mengiringi keberangkatan Seri Paduka kali ini kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, namun tetap yakin lawatan tersebut akan memberi impak besar buat negara.
“Patik penuh yakin lawatan ini akan membawa limpahan manfaat dan pulangan terbaik buat rakyat dan negara,” katanya lagi.
Upacara Istiadat Mengucap Selamat Berangkat berlangsung penuh adat di Pangkalan Udara TUDM Subang, dengan kehadiran barisan pemimpin tertinggi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Majlis penuh istiadat itu turut diserikan dengan tabik Hormat Diraja, tembakan meriam 21 das, dan nyanyian lagu Negaraku mencerminkan semangat dan penghormatan tinggi terhadap keberangkatan Tuanku.
Menariknya, lawatan ke Arab Saudi ini merupakan lawatan negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke sana sejak tahun 1984, menjadikannya satu momen bersejarah dan simbolik dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara Teluk.
Anwar dalam perkongsian itu menegaskan keyakinannya bahawa lawatan ini bukan sekadar simbol diplomasi, tapi juga peluang besar untuk memperkukuh hubungan strategik, pelaburan dan pembangunan masa depan rakyat Malaysia.















