Oleh: Tyah Helmi
SEORANG lelaki menerima kecaman hebat di media sosial selepas mengeluarkan kenyataan berbaur lucah ketika melakukan siaran langsung di platform TikTok baru-baru ini.
Teruskan MembacaLelaki yang dipercayai usahawan itu mengeluarkan kata-kata tidak senonoh di hadapan orang ramai, lebih memburukkan lagi turut disaksikan isterinya ketika kejadian berlangsung.
Difahamkan, lelaki itu menyatakan hasratnya untuk memeluk rapat dan membuat gangguan seksual terhadap seorang perempuan yang sedang makan di meja sebelahnya itu.
Tindakan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang menyifatkan perbuatannya sebagai tidak bermoral dan memalukan.
“Bukankah lelaki tu makan di tempat yang mahal dan elok, tapi masih mentaliti yang rendah dengan tunjuk sikap lucah itu apatah lagi tengah makan,” kata warga maya di aplikasi Thread.
Ada juga yang mengecam tindakan isterinya yang dilihat tidak menegur perbuatan suami, sebaliknya hanya membiarkan perbualan berbaur lucah itu berterusan.
“Sedih, juga, bila isteri dia sebagai perempuan, yang biarkan lelaki sendiri membuat gangguan seksual kepada perempuan yang lain, tiada akal,” ujar seorang lagi netizen di aplikasi Thread.
Rata-rata pengguna media sosial menegaskan bahawa sebagai figura awam, beliau seharusnya menunjukkan contoh yang baik dan menjaga tutur kata, terutama ketika siaran langsung yang ditonton ramai.
















