RIYADH: Lawatan rasmi pertama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi disambut dengan penuh penghormatan apabila Baginda menerima sambutan negara penuh istiadat di Istana Yamamah, Riyadh pada Selasa.
Teruskan MembacaTepat jam 1.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia), keberangkatan Seri Paduka disambut oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Majlis istiadat itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu rasmi Arab Saudi, sebelum Baginda dan Putera Mohammed memeriksa kawalan kehormatan dan melangkah masuk ke istana untuk sesi pertemuan rasmi.
Lawatan ini menandakan detik penting dalam hubungan Malaysia-Arab Saudi, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara dua negara Islam berpengaruh ini.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Delegasi Malaysia turut dianggotai oleh Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman.
Sebagai tanda penghormatan, Putera Mohammed turut menjadi tuan rumah bagi majlis santapan negara yang dihadiri tetamu kehormat dari kedua-dua negara melambangkan keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi.
Dalam kenyataan kepada Royal Press Office (RPO), Seri Paduka Baginda menyifatkan pertemuan itu sebagai sangat bermakna dan penuh mesra.
“Ini kali pertama kami berdua bertemu, dan Putera Mohammed menunjukkan pengetahuan yang luas dalam banyak perkara yang dibincangkan. Saya juga berkongsi pandangan tentang pentingnya dasar kerajaan yang konsisten bagi menjamin kestabilan dan keyakinan pelabur,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut memuji pelan Visi 2030 Arab Saudi, yang disifatkan sebagai langkah berani dan progresif dalam memperkukuh ekonomi serta memperkasa rakyat negara itu.
Lawatan rasmi ini bukan sekadar simbol hubungan baik dua negara, malah membuka ruang baharu dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan, pendidikan, teknologi dan pembangunan insan sekali gus memperkukuh hubungan Malaysia dan Arab Saudi di pentas global.















