PETALING JAYA: Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi, akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas gimik promosi Kejohanan Warzone World Championship (WWC) yang dikaitkan dengannya mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial baru-baru ini.
Teruskan MembacaDalam satu video yang dimuat naik di laman sosial rasminya pada Selasa, Yusuf mengakui kesilapan tersebut dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta semua yang terlibat dalam sukan kombat seperti ini.
Saya tiada niat lain dan tiada unsur sengaja dalam promosi itu,” katanya.
Menurut Yusuf, kejohanan WWC merupakan pengalaman pertama pasukannya menganjurkan acara berskala besar, dan gimik tersebut hanya bertujuan menarik perhatian, bukan menimbulkan isu atau kontroversi.
“Saya akui ia sekadar gimik semata-mata. Kami nak bagi kejohanan ni nampak bersemangat, tapi tak sangka pula ia disalah tafsir,” jelasnya.
Yusuf turut berterima kasih kepada semua pihak yang menegur dan memberi pandangan, serta berjanji untuk memperbaiki pendekatan promosi acara sukan selepas ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua atlet dan persatuan Muay Thai, terutamanya Alif Rakib, Afiq Masdor dan Johan Ghazali atas sokongan mereka.
Kami hanya mahu jadikan kejohanan ini yang terbaik,” ujarnya lagi.
Video permohonan maaf itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai yang menghargai kejujuran Yusuf dan sikapnya yang tidak lari daripada tanggungjawab selepas isu tersebut tular.
















