KOTA KINABALU: Arena politik Sabah kini diselubungi suasana duka apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
Teruskan MembacaAhli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 1.46 pagi dipercayai akibat komplikasi kesihatan melibatkan masalah buah pinggang serta jangkitan pada paru-paru.
Berita sedih ini disahkan sendiri oleh anak beliau, Naim Kurniawan Moktar, menerusi satu hantaran di Facebook.
“Dengan rasa sedih yang teramat, kami sekeluarga memaklumkan ayahanda kami telah pergi buat selamanya. Mohon semua doakan agar roh beliau dicucuri rahmat,” tulisnya ringkas.
Sejurus berita tersebar, suasana sayu mula menyelubungi pekarangan hospital apabila rakan-rakan politik serta kenalan rapat hadir memberi penghormatan terakhir. Antara yang dilihat hadir termasuk beberapa pemimpin UMNO Sabah.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Damai, Kota Kinabalu sebelum urusan pengebumian dilaksanakan.
Allahyarham Bung Moktar, 66, bukan nama asing dalam politik Sabah. Beliau telah lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan juga ADUN Lamag, selain pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara dan tidak ‘berselindung’, Bung Moktar sering tampil memperjuangkan isu rakyat Sabah secara terbuka, sama ada di Parlimen mahupun di peringkat negeri.
Malah pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, Allahyarham sekali lagi diberi kepercayaan oleh pengundi di Lamag apabila menang dan mengekalkan kerusi DUN tersebut.
Pemergian Bung Moktar bukan sahaja satu kehilangan besar buat UMNO dan BN negeri, malah turut dirasai oleh ramai rakyat Sabah yang melihat beliau sebagai suara tegas dalam memperjuangkan hak negeri di peringkat nasional.
Takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
















