Berita baik buat kru kabin wanita AirAsia! Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengumumkan bahawa mereka kini membenarkan pemakaian hijab sebagai sebahagian daripada seragam rasmi kru bermula Ramadan 2026.
Teruskan MembacaLangkah ini dianggap sebagai satu perubahan besar dalam polisi dalaman AirAsia yang sebelum ini hanya membenarkan pemakaian hijab untuk laluan tertentu seperti penerbangan ke Jeddah, tertakluk kepada peraturan tempatan.
Kini, kru wanita bebas memilih untuk mengenakan hijab ketika bertugas, tanpa perlu terikat kepada destinasi penerbangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, perubahan ini dibuat bagi memastikan kru selesa dan dapat menzahirkan identiti peribadi masing-masing, tanpa menjejaskan imej profesional syarikat.
“Seragam merah AirAsia tetap kekal, cuma kali ini ia tampil dengan lebih fleksibel dengan pilihan hijab dan seluar untuk kru wanita yang mahu memakainya,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Kru Kabin Kumpulan, Suhaila Hassan, berkata dasar baharu ini mencerminkan keterbukaan AirAsia dalam menerima kepelbagaian latar belakang pekerjanya.
“Kami mempunyai kru dari pelbagai bangsa dan kepercayaan. Polisi ini adalah refleksi kepada budaya kerja yang lebih inklusif dan saling menghormati,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihak AirAsia masih mendapatkan pandangan dan cadangan daripada kru bagi memastikan pelaksanaan kelak berjalan lancar.
Rata-rata netizen menyambut baik pengumuman ini dan menganggapnya sebagai langkah positif dalam industri penerbangan, khususnya dari segi menghormati kebebasan beragama di tempat kerja.
















