Baru dibuka untuk tempahan, restoran Rembayung milik Khairul Aming terus mencetuskan fenomena apabila laman web tempahan mereka dilaporkan ‘crash’ selepas menerima sambutan luar jangkaan.
Teruskan MembacaDifahamkan, lebih 400 tempahan dibuat dalam tempoh hanya 15 minit sebaik sahaja sistem dibuka, menyebabkan trafik terlalu tinggi hingga laman web tidak dapat menampung jumlah pengguna yang masuk serentak.
Ramai netizen berkongsi pengalaman masing-masing di media sosial, ada yang teruja kerana berjaya membuat tempahan, dan tak kurang juga yang kecewa apabila halaman web tiba-tiba tidak dapat diakses.
Fenomena itu sekali lagi membuktikan pengaruh besar Khairul Aming, apabila restoran sulungnya terus mendapat sambutan hangat walaupun belum beroperasi sepenuhnya. Malah, akaun media sosial Rembayung juga dilaporkan mencatat pertambahan pengikut yang mendadak dalam masa singkat.
Khairul Aming kemudiannya tampil memohon maaf kepada orang ramai susulan gangguan sistem berkenaan. Katanya, beliau sendiri tidak menjangka sambutan yang terlalu luar biasa dan pihaknya sedang berusaha memperbaiki sistem tempahan agar lebih lancar pada masa akan datang.
Sejak diumumkan, Rembayung yang menampilkan konsep masakan tradisional dan menu kampung sudah menjadi bualan ramai, terutama dalam kalangan peminat makanan dan pengikut setia Khairul Aming.
Dengan sambutan awal yang begitu ‘padu’, ramai menjangkakan restoran ini bakal menjadi antara lokasi makan paling ‘panas’ di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
















