Walaupun sudah lebih seminggu berlalu, konsert Tenxi & Naykilla nyata masih ‘melekat’ di hati peminat. Di media sosial, ramai yang mengaku masih terbayang-bayang momen hype sepanjang konsert tersebut sampai sekarang.
Teruskan MembacaKonsert anjuran Icon Entertainment di bawah kendalian Iman Tang itu berlangsung pada 10 Januari lalu di Zepp Arena Kuala Lumpur dan berjaya mencatatkan kehadiran penuh, dengan peminat mula membanjiri lokasi sejak awal petang.
Meninjau ke platform seperti Threads, TikTok dan Instagram, rata-rata penonton tidak henti-henti berkongsi klip, gambar serta pengalaman masing-masing. Kebanyakannya memuji kualiti persembahan, susunan lagu yang ‘kena dengan jiwa’, serta tenaga luar biasa yang dipamerkan Tenxi dan Naykilla sepanjang berada di atas pentas.
Antara yang turut mencuri perhatian ialah perkongsian daripada artis tempatan, Mimilana, yang meluahkan rasa bangga selepas menyaksikan sendiri konsert berkenaan. Menerusi Threads, dia menggambarkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang penuh tenaga dan vibe Gen Z.
“Energy dia memang gila. Rasa macam kembali muda. Bangga tengok apa yang Iman Tang berjaya realisasikan,” tulisnya ringkas.
Dalam masa sama, seorang pengguna Threads, @Natasyanabila, turut memuji pemilihan lagu yang dianggap ‘ngam’ dengan citarasa peminat. Lagu-lagu seperti Garam dan Madu, Puting Beliung, Selingkuh, Berubah, Apalagi, Attached dan Coba Lagi antara yang paling mendapat sorakan padu malam itu.
Di TikTok pula, halaman FYP dipenuhi video konsert dengan pelbagai reaksi teruja. Ada yang menyifatkan konsert tersebut sebagai antara paling seronok pernah mereka hadiri, siap ada yang bergurau masih ‘healing’ sampai sekarang.
Paling menjadi bualan apabila pempengaruh terkenal, Kasih Iris Leona, membuat kemunculan mengejut untuk meraikan hari lahir Tenxi di atas pentas. Kehadirannya mencetuskan sorakan gemuruh, malah video keakraban Leona bersama Naykilla yang dimuat naik selepas itu turut menerima pelbagai komen positif daripada netizen.
Ringkasnya, konsert Tenxi & Naykilla bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya meninggalkan impak yang buat ramai peminat masih susah nak ‘move on’.
















