Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran keras terhadap trend penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berleluasa di media sosial, khususnya di platform X.
Teruskan MembacaMenerusi satu kenyataan pada Sabtu, MCMC memaklumkan bahawa tindakan memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak menggunakan AI sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh, melampau atau menjijikkan adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
Menurut MCMC, perbuatan menghasilkan atau menyebarkan kandungan sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian untuk menghantar bahan berunsur lucah, sumbang atau jelik melampau.
Berikutan itu, MCMC telah membuka kertas siasatan terhadap beberapa akaun pengguna di platform X yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut.
Penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang mewajibkan platform digital serta penyedia perkhidmatan berlesen bertindak lebih tegas dalam mengekang penularan kandungan lucah, tidak senonoh dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen di Malaysia, MCMC menegaskan platform itu tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian negara ini.
“Mana-mana platform yang boleh diakses oleh pengguna di Malaysia tetap bertanggungjawab memastikan kandungan berbahaya tidak berleluasa,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, MCMC menggesa semua platform digital agar memperketatkan kawalan, khususnya melibatkan penggunaan AI, ‘chatbot’ dan aplikasi manipulasi imej yang berpotensi disalahgunakan.
Orang ramai turut disaran supaya tidak berdiam diri dan segera melaporkan kandungan memudaratkan kepada pihak platform berkaitan, selain membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian yang disediakan.
















