PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pagi ini jam 11.30, yang bakal menjadi panduan utama hala tuju kerajaan sepanjang tahun.
Teruskan MembacaDalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa perutusan itu akan merangkumi pelbagai inisiatif strategikdan beberapa pengumuman penting yang dijangka memberi impak besar kepada rakyat.
“Insya-Allah, pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi ini, saya akan menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menggariskan hala tuju, inisiatif serta beberapa pengumuman penting untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini,” kata beliau.
Sebelum ini, media melaporkan perutusan tersebut akan disampaikan selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, turut berkongsi jangkaannya bahawa beberapa pengumuman penting bakal dibuat, terutama mengenai isu-isu yang menjadi perhatian rakyat seperti ekonomi, pendidikan, dan reformasi institusi.
“Ini menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk tangani masalah rakyat. Saya yakin ada pengumuman positif yang akan diumumkan pagi ini,” ujarnya ketika berucap di Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 semalam.
Rata-rata warganet sudah mula berkongsi rasa ingin tahu, menanti apa yang bakal diumumkan dalam perutusan tahun baharu ini. Ada yang berharap ia membawa berita baik dan langkah-langkah positif untuk rakyat di seluruh negara.
















