Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan melibatkan laluan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah bagi tempoh 28 Februari hingga 1 Mac 2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keputusan itu dibuat susulan penutupan sementara ruang udara di beberapa kawasan Asia Barat. Langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru sentiasa menjadi keutamaan.
Teruskan MembacaPihak syarikat memaklumkan bahawa semua penumpang yang terjejas sedang dihubungi secara terus dan akan dibantu dengan pilihan perjalanan alternatif termasuk penjadualan semula penerbangan.
Dalam masa sama, penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi fungsi “My Booking” di laman web rasmi Malaysia Airlines supaya tidak terlepas sebarang maklumat terkini.
Bagaimanapun, penerbangan ke dan dari London serta Paris masih berjalan seperti biasa dengan menggunakan laluan alternatif yang tidak melalui kawasan terjejas.
Malaysia Airlines turut memaklumkan mereka sedang memantau perkembangan semasa dengan teliti dan akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa.
Bagi yang perlukan bantuan segera, penumpang boleh hubungi Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).
















