DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan program vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk warga kerja dan tanggungan DBKL yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2024 di Menara DBKL 1 Menara DBKL 3.
Inisiatif tersebut digerakkan oleh DBKL melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Teruskan MembacaMenerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL, Virus HPV boleh menyebabkan kanser pangkal rahim atau kanser serviks.
“Penyakit ini berpunca daripada jangkitan virus HPV yang menyebabkan sel-sel di pangkal rahim membiak secara tidak normal.
“Kanser serviks adalah kanser ketiga tertinggi yang mencatat kematian dalam kalangan wanita di Malaysia selepas kanser payu dara dan kanser usus,” kata kenyataan tersebut.
Mengambil vaksinasi HPV seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) adalah langkah permulaan yang baik dalam pencegahan kanser serviks.
JKAS turut memaklumkan penerima vaksin telah diberikan kad temujanji untuk suntikan dos kedua pada pertengahan bulan Disember 2024.
Seramai 741 kakitangan dan tanggungan DBKL yang berumur kurang dari 45 tahun telah hadir untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksinasi berkenaan.
Program tersebut turut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pencegahan melalui vaksinasi.
DBKL komited untuk mempromosikan kesihatan awam dan mengambil langkah proaktif dalam pencegahan penyakit melalui program-program sedemikian.
Dengan usaha bersama, kita dapat menoktahkan kanser serviks di Malaysia dan memastikan kesihatan yang lebih baik untuk semua.
Baca juga: