Berita baik buat pengguna jalan raya apabila harga petrol dan diesel di seluruh negara kembali turun bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun 2026.
Menerusi pengumuman terbaharu kerajaan, harga RON97 turun sebanyak 20 sen menjadikan harga baharu RM4.65 seliter.
Teruskan MembacaRON95 pula mencatat penurunan sebanyak 15 sen daripada RM4.07 kepada RM3.92 seliter, manakala diesel di Semenanjung turun 10 sen kepada RM4.87 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penurunan tersebut dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minyak dunia minggu sebelumnya.
Menurut MOF, walaupun harga bahan api menunjukkan penurunan, situasi pasaran petroleum global masih belum stabil susulan konflik di Asia Barat yang berterusan sejak lebih tiga bulan lalu.
Harga minyak mentah Brent juga dilaporkan masih berada pada paras melebihi AS$100 setong, jauh lebih tinggi berbanding sebelum konflik tercetus.
Selain itu, kos penghantaran dan insurans perdagangan turut meningkat kerana risiko laluan perdagangan di kawasan konflik yang memberi kesan kepada bekalan minyak dunia.
Dalam masa sama, kerajaan MADANI menasihatkan rakyat supaya terus menggunakan bahan api secara berhemah termasuk merancang perjalanan dengan lebih efisien dan mengurangkan perjalanan tidak perlu.
Bagi penerima subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), harga khas RM1.99 seliter masih dikekalkan untuk lebih 14 juta penerima yang layak.
Kerajaan turut menjelaskan lebih 90 peratus pengguna RON95 di negara ini masih menikmati subsidi dan setiap penerima yang menggunakan kuota penuh menerima bantuan sekitar RM386 sebulan.
Dengan had kelayakan sehingga 200 liter sebulan, pengguna yang layak hanya perlu membayar RM398 bagi penggunaan penuh kuota tersebut.
MOF menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dalam memastikan rakyat terus dilindungi daripada kenaikan mendadak harga minyak dunia selain menjamin bekalan bahan api negara sentiasa mencukupi.
















