Peminat muzik R&B tempatan, bersedia untuk kembali mengimbau zaman kegemilangan awal 2000-an!
Konsert Soul City, An R&B Night bakal menghimpunkan barisan nama besar yang pernah mewarnai industri muzik tanah air iaitu Ruffedge, Innuendo, Lah Ahmad serta The Fabulous Cats feat. Datin Alyah dalam satu pentas istimewa.
Teruskan MembacaAcara yang dijadual berlangsung pada 10 Julai 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil itu dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan tahun ini, terutama bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu hit R&B tempatan yang pernah mendominasi carta radio suatu ketika dahulu.
Bukan sekadar konsert biasa, Soul City hadir sebagai sebuah penghargaan kepada era muzik R&B Malaysia yang pernah menjadi fenomena dan mencipta pelbagai kenangan manis buat peminat.
Lebih menarik, penonton bakal disajikan dengan deretan lagu popular yang masih segar di ingatan serta menjadi siulan ramai sehingga hari ini.
Menurut pihak penganjur, Soul City diwujudkan bagi meraikan artis-artis yang banyak menyumbang kepada perkembangan dan identiti muzik R&B tempatan.
“Lagu-lagu ini pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai peminat. Soul City bukan sahaja meraikan legasi muzik tersebut, malah memberi peluang kepada peminat untuk mencipta kenangan baharu bersama artis kegemaran mereka,” katanya.
Dengan gabungan vokal mantap, persembahan bertenaga serta iringan muzik secara langsung, konsert ini dijangka menghadirkan pengalaman yang penuh emosi dan nostalgia.
Jadi sama ada anda peminat setia sejak dahulu atau generasi baharu yang ingin mengenali kehebatan muzik R&B Malaysia, Soul City An R&B Night pastinya sebuah konsert yang tidak boleh dilepaskan.
Tiket kini sudah mula dijual menerusi platform MyTicketEmpire.
















