Kapten Argentina, Lionel Messi sekali lagi membuktikan statusnya sebagai legenda bola sepak apabila mencipta sejarah baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan Piala Dunia FIFA.
Bintang berusia 39 tahun itu meledak dua gol ketika membantu Argentina menewaskan Austria, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringan Piala Dunianya kini mencecah 18 gol.
Teruskan MembacaPencapaian tersebut menyaksikan Messi berjaya memintas rekod 16 gol yang sebelum ini dipegang oleh legenda Jerman, Miroslav Klose.
Lebih manis, Messi yang kini beraksi dalam edisi Piala Dunia keenam turut mencatat satu lagi rekod apabila menjadi pemain ketiga dalam sejarah yang berjaya menjaringkan gol dalam enam kejohanan Piala Dunia berturut-turut.
Sejak membuat penampilan pertama di Piala Dunia pada tahun 2006, Messi terus menjadi tonggak utama Argentina dan kini telah mengumpul 121 gol dalam 201 penampilan antarabangsa.
Dalam pada itu, penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappé, terus menghampiri rekod tersebut apabila menambah koleksi jaringannya kepada 16 gol selepas membantu Perancis menewaskan Iraq 3-0.
Sementara itu, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, masih belum menemui sentuhan terbaik apabila sekadar membantu pasukannya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo dalam aksi pembukaan.
Portugal dijadualkan berdepan Uzbekistan awal pagi esok, namun pengendali Roberto Martínez masih belum mengesahkan sama ada Ronaldo akan diturunkan dalam kesebelasan utama.
















